Alhamdulillah baru-baru ini saya bersama rakan sejawatan berpeluang mengikuti kursus pengurusan jenazah di Hotel Sempurna, Kuantan. Kursus anjuran Politeknik Muadzam Shah bersama Jabatan Agama Islam Pahang tersebut mengeluarkan 'tauliah' bagi peserta kursus tersebut.
saya bersama rakan sejawatan membawa keluarga masing-masing mengikuti kursus sambil bercuti dan makan angin di Kuantan.
saya secara peribadi telah 4 kali terlibat dalam kursus seperti ini.Kali pertama ketika di sekolah menengah dahulu sebagai pengarah program dan 'model mayit' secara bidan terjun dek kerana pelajar yang sepatutnya memainkan watak sebagai mayit berjaya menghilangkan diri. sekali lagi dalam kursus tersebut saya secara sukarela menjadi mayit di dalam kumpulan yang diberi tugasan bertajuk menguruskan 'mayit kemalangan kepala pecah darah tak berhenti mengalir!'
perkara menarik yang saya dapat daripada kursus ini ialah pengalaman pengurus jenazah iaitu Ust Ramli ( lebih mesra dengan panggilan abah )yang telah terlibat hampir 25 tahun dalam bidang tersebut dan menghadapi pelbagai keadaan dan situasi jenazah yang berbeza-beza. Jenazah HIV,kemalangan ngeri,terbakar hangus,mati lemas,hancur dan pelbagai lagi keadaan yang sukar bagi kita yang kurang ilmu dan pengalaman untuk menguruskannya dikongsi dan dipaparkan gambar-gambar tersebut sepanjang kursus.
begitu juga praktikal untuk jenazah HIV dan jenazah yang telah dibedah siasat ditunjukkan secara jelas dan baik sekali.
Begitu juga dengan slot ceramah oleh Dr Noraiza berkaitan dengan statistik pesakit AIDS dan pesakit-pesakit kelamin ( penyakit seksual ) yang amat membimbangkan kerana melibatkan kaum Melayu - Muslim yang begitu ramai sekali. Dr Noraiza juga menyentuh tentang perlaksanaan memandikan jenazah berisiko tinggi seperti mayit pesakit HIV dan H1N1 yang memerlukan pakaian dan bahan pencuci yang khas.
Kesimpulannya kursus ini sangat bagus bagi mereka yang terlibat secara khusus atau tidak dalam bidang ini. Saya bersyukur kerana banyak input-input yang terlepas pandang semasa saya terlibat menjalankan kursus pengurusan jenazah kepada pelajar-pelajar sebelum ini.
Tetapi satu perkara yang amat menyedihkan saya. Sepanjang kursus ini berlangsung amat jarang sekali disentuh soal sunnah-sunnah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan bidaah-bidaah yang diamalkan dalam soal pengurusan jenazah hingga ke liang lahad. Cuma disentuh secara ringan semasa sesi soal jawab. Alhamdulillah ada sedikit pencerahan di situ dalam soal talkin, binaan di atas kubur, soal badi dan banyak lagi perkara yang diamalkan secara meluas oleh masyarakat.
Lebih malang lagi seorang peserta berstatus ustaz berkongsi cerita tentang seorang ulama yang dikenali sebagai Ibnu Mayyit. Cerita ini timbul apabila berlaku soal jawab antara penceramah dan peserta berkenaan keadaan mayit yang tegang zakarnya. maka apa yang harus dilakukan oleh pengurus jenazah..maka ustaz tersebut mengatakan bahawa isteri si mayit perlu bersetubuh dengan si mayit bagi menyelesaikan masalah tersebut berdasarkan kisah tersebut. Dan hasil persetubuhan tersebutlah maka lahirnya seorang ulama bernama ibnu Mayyit. cerita tersebut yang belum tentu lagi kesohihannya telah menjadi hujah syarak kepada kes tersebut. maka panaslah telinga saya bila mendengar cerita tersebut. saya cuba terangkan dengan ilmu yang sedikit ini mengajak para peserta berfikir sejenak adakah itu penyesaiannya.Dan adakah sohih cerita tersebut. maka kita perlu merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah atau teks-teks para ulama yang mu'tabar bagi mencari penyesaian tersebut. cerita tersebut seolah-olah fitnah kepada ulama dan fitnah kepada seluruh umat yang mempercayainya.
Sebelum ini, Institut Ibnu Hajar pernah mengadakan kursus pengurusan Jenazah di Melaka. Panel yang hadir hebat-hebat belaka ilmu mereka. setiap hal yang diterangkan akan disertakan hadis-hadis serta takhrijnya sekali. Tetapi malang, model jenazah hanya 'mikrofon' dan kafannya hanya 'kertas kerja' di tangan penceramah..banyak yang perlu dipelajari daripada kursus seperti ini. Dalil-dalil yang sohih berkaitan pengurusan jenazah perlu disertakan dengan praktikal yang mantap dan realistik dengan pelbagai situasi supaya ilmu bukan sekadar tekstual tetapi praktikal yang sempurna.
wallahu a'lam