Monday, April 25, 2011
ULASAN: `ULAMA’ UNTUK DISALAMI DAN DIGAMBARI?
1- Kedatangan As-Sudays ke Malaysia sangat dialu-alukan, sebagai seorang cendekiawan Islam, lebih-lebih lagi sebagai Imam di Masjidi l-Haram.
2- Ramai yang mengambil kesempatan kedatangan As-Sudays ini untuk bersalaman dan bergambar dengannya.
3- Adakah ini tuntutan Islam terhadap seseorang `ulama’? Bahkan kepada `ulama’ dan para ilmuwan lain selain daripada As-Sudays, adakah mereka sekadar untuk disalami dan digambari?
4- Tulisan ini mengupas lebih lanjut tentang interaksi antara umat dan `ulama’, semoga ia menjadi panduan yang berguna.
A. `Ulama’ itu diambil ilmunya
5- Ramai yang tersilap dengan kedatangan As-Sudays tersebut, kerana mereka hanya membutuhkan sekeping gambar kenang-kenangan, sebagai bukti bahawa mereka telah bersama dengan Imam Masjidi l-Haram itu.
6- Bahkan As-Sudays itu adalah seorang pemegang PhD dan seorang `ulama’, yang harus diambil ilmunya dan dimanfa`atkan kedatangannya untuk mendalami ilmu agama dan Al-Qur’an..
7- Sangat jahil sesiapa yang berbangga dengan sekeping gambar bersama As-Sudays, tanpa mengambil faedah ilmu daripadanya.
8- Lebih jahil mereka yang sampai bertumbuk, berasak, berebut-rebut semata-mata untuk mengambil gambar As-Sudays itu, hanya sekadar menambah koleksi gambar sahaja!
9- Sangat malang mereka yang hadir bersamanya tetapi tidak memahami kalamnya, tidak mengerti ilmunya, tidak memperelok bacaan Al-Qur’annya.
B. `Ulama’ itu diminta doanya
10- Berapa ramai yang apabila berjumpa dengan As-Sudays, berlumba-lumba untuk bersalam dengan tangannya, dengan harapan semoga ada berkat.
11- Tidakkah masyarakat mengetahuï bahawa keberkatan `ulama’ adalah pada doa yang diucapkannya? Dan bukan pada tangannya.
12- Berapa ramaikah rakyat Malaysia yang meminta As-Sudays itu berdoa untuk mereka? Kerana doa `ulama’ yang hidup itu adalah lebih mudah diqabulkan.
13- Berapa ramaikah yang setakat mengambil gambar As-Sudays, tanpa mengambil berkat doanya?
14- Berapa ramaikah yang setakat mengambil video dan gambar As-Sudays, tanpa ruh ilmu daripadanya?
15- Saya suka menegur masyarakat yang begitu teruja dengan kedatangan para `ulama’ ke Malaysia, bahawa `ulama’ itu untuk diambil ilmunya dan diminta doanya.
16- `Ulama’ bukan artis untuk digambari, dan bukanlah sekadar untuk disalami.
17- Barangkali ini sebabnya ramai pelajar Malaysia di Timur Tengah yang balik dengan dada kosong, kerana mereka hanya mengambil gambar `ulama’ di sana, dan tidak mengambil ilmu mereka!
18- Sedarlah wahai umat, sedarlah wahai orang-orang yang diberikan peluang bertemu dengan ilmuwan, sarjana dan para `ulama’.
19- Ambillah ilmu mereka, sebelum mereka dicabut nyawanya.
p/s : Mujurlah takde yang berebut cabut janggut syeikh Sudais buat tangkal...
source : adou_fr
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment