Alhamdulillah baru-baru ini saya bersama rakan sejawatan berpeluang mengikuti kursus pengurusan jenazah di Hotel Sempurna, Kuantan. Kursus anjuran Politeknik Muadzam Shah bersama Jabatan Agama Islam Pahang tersebut mengeluarkan 'tauliah' bagi peserta kursus tersebut.
saya bersama rakan sejawatan membawa keluarga masing-masing mengikuti kursus sambil bercuti dan makan angin di Kuantan.
saya secara peribadi telah 4 kali terlibat dalam kursus seperti ini.Kali pertama ketika di sekolah menengah dahulu sebagai pengarah program dan 'model mayit' secara bidan terjun dek kerana pelajar yang sepatutnya memainkan watak sebagai mayit berjaya menghilangkan diri. sekali lagi dalam kursus tersebut saya secara sukarela menjadi mayit di dalam kumpulan yang diberi tugasan bertajuk menguruskan 'mayit kemalangan kepala pecah darah tak berhenti mengalir!'
perkara menarik yang saya dapat daripada kursus ini ialah pengalaman pengurus jenazah iaitu Ust Ramli ( lebih mesra dengan panggilan abah )yang telah terlibat hampir 25 tahun dalam bidang tersebut dan menghadapi pelbagai keadaan dan situasi jenazah yang berbeza-beza. Jenazah HIV,kemalangan ngeri,terbakar hangus,mati lemas,hancur dan pelbagai lagi keadaan yang sukar bagi kita yang kurang ilmu dan pengalaman untuk menguruskannya dikongsi dan dipaparkan gambar-gambar tersebut sepanjang kursus.
begitu juga praktikal untuk jenazah HIV dan jenazah yang telah dibedah siasat ditunjukkan secara jelas dan baik sekali.
Begitu juga dengan slot ceramah oleh Dr Noraiza berkaitan dengan statistik pesakit AIDS dan pesakit-pesakit kelamin ( penyakit seksual ) yang amat membimbangkan kerana melibatkan kaum Melayu - Muslim yang begitu ramai sekali. Dr Noraiza juga menyentuh tentang perlaksanaan memandikan jenazah berisiko tinggi seperti mayit pesakit HIV dan H1N1 yang memerlukan pakaian dan bahan pencuci yang khas.
Kesimpulannya kursus ini sangat bagus bagi mereka yang terlibat secara khusus atau tidak dalam bidang ini. Saya bersyukur kerana banyak input-input yang terlepas pandang semasa saya terlibat menjalankan kursus pengurusan jenazah kepada pelajar-pelajar sebelum ini.
Tetapi satu perkara yang amat menyedihkan saya. Sepanjang kursus ini berlangsung amat jarang sekali disentuh soal sunnah-sunnah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan bidaah-bidaah yang diamalkan dalam soal pengurusan jenazah hingga ke liang lahad. Cuma disentuh secara ringan semasa sesi soal jawab. Alhamdulillah ada sedikit pencerahan di situ dalam soal talkin, binaan di atas kubur, soal badi dan banyak lagi perkara yang diamalkan secara meluas oleh masyarakat.
Lebih malang lagi seorang peserta berstatus ustaz berkongsi cerita tentang seorang ulama yang dikenali sebagai Ibnu Mayyit. Cerita ini timbul apabila berlaku soal jawab antara penceramah dan peserta berkenaan keadaan mayit yang tegang zakarnya. maka apa yang harus dilakukan oleh pengurus jenazah..maka ustaz tersebut mengatakan bahawa isteri si mayit perlu bersetubuh dengan si mayit bagi menyelesaikan masalah tersebut berdasarkan kisah tersebut. Dan hasil persetubuhan tersebutlah maka lahirnya seorang ulama bernama ibnu Mayyit. cerita tersebut yang belum tentu lagi kesohihannya telah menjadi hujah syarak kepada kes tersebut. maka panaslah telinga saya bila mendengar cerita tersebut. saya cuba terangkan dengan ilmu yang sedikit ini mengajak para peserta berfikir sejenak adakah itu penyesaiannya.Dan adakah sohih cerita tersebut. maka kita perlu merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah atau teks-teks para ulama yang mu'tabar bagi mencari penyesaian tersebut. cerita tersebut seolah-olah fitnah kepada ulama dan fitnah kepada seluruh umat yang mempercayainya.
Sebelum ini, Institut Ibnu Hajar pernah mengadakan kursus pengurusan Jenazah di Melaka. Panel yang hadir hebat-hebat belaka ilmu mereka. setiap hal yang diterangkan akan disertakan hadis-hadis serta takhrijnya sekali. Tetapi malang, model jenazah hanya 'mikrofon' dan kafannya hanya 'kertas kerja' di tangan penceramah..banyak yang perlu dipelajari daripada kursus seperti ini. Dalil-dalil yang sohih berkaitan pengurusan jenazah perlu disertakan dengan praktikal yang mantap dan realistik dengan pelbagai situasi supaya ilmu bukan sekadar tekstual tetapi praktikal yang sempurna.
wallahu a'lam
Saturday, February 20, 2010
Wednesday, November 11, 2009
WAHABI TU APE?

Soalan "wahabi tu ape ustaz?" selalu ditanya kepada saya sama ada di dalam kelas atau di mana-mana apabila berbincang soal-soal agama. Tidak kurang juga bila bermuzakarah dengan "orang-orang agama" yang pantas menghukum "mereka wahabi,wahabi sesat!". Bukan sedikit masa diperlukan untuk menjelaskannya panjang lebar. Baca isu PAS di media perdana bukanlah satu tindakan yang bijak. Baca isu UMNO di HARAKAH juga bukanlah tindakan yang tepat. Rujuklah lidah rasmi mereka sendiri jika anda sedang mencari maklumat yang benar. Nah, baca dan cuba faham :
MAZHAB SYAFI'I KAH MASYARAKAT KITA?
sumber : www.an-nawawi.blogspot.comBaru-baru ini meledak satu isu berkaitan Fahaman Wahhabi di dada-dada akhbar ekoran penangkapan seorang bekas mufti Negeri Perlis oleh Jabatan Agama Selangor (JAIS) yang didakwa mendoktrinkan fahaman Wahhabinya kepada masyarakat. Namun, akhirnya dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan.
Walaupun begitu, bukan itu isu yang mahu saya tangkap masuk ke dalam tulisan kali ini. Tetapi lebih kepada kenyataan oleh seorang tokoh lain rentetan dari isu Wahhabi tersebut.
Sebenarnya saya tertarik dengan kenyataan seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Mashitah Ibrahim sebagaimana berikut dinukilkan dari riwayat Akhbar Berita Harian
Beliau berkata, fahaman itu tidak sesuai kerana di Malaysia berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Wahabi boleh mewujudkan perselisihan sesama umat Islam.
Antara perbezaan pendapat yang menimbulkan perselisihan ialah tidak membaca qunut dalam solat subuh, membaca Yaasin pada malam Jumaat, membaca talkin, tidak berwirid selepas solat dan mengadakan tahlil.
Manakala menurut riwayat dari jalur sanad Akhbar Utusan Malaysia:
Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yasiin selain tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Jari-jemari saya lebih teruja untuk menikam papan kekunci menoreh sekitar isu Wahhabi tidak berzikir (atau berwirid) setiap selepas solat (merujuk solat fardhu).
Sebagaimana yang disentuh oleh Dato' Dr. Mashitah di atas, pertamanya beliau menyentuh soal perselisihan di dalam agama dari kalangan umat Islam. Sebenarnya, dalam persoalan perbezaan pendapat di dalam agama, ia bukanlah suatu perkara yang asing. Malah ia sebenarnya telah lama disentuh oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala melalui firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الأمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلا
Terjemahan: Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri (pemimpin/orang-orang yang berilmu) di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisaa', 4: 59)
Apa yang menarik, selain Allah Subhanahu wa Ta'ala menyatakan tentang perselisihan melalui ayat tersebut, Allah juga telah menyatakan solusinya apabila berlaku perbezaan pendapat di antara orang-orang yang beriman. Iaitulah dengan kembali merujuk al-Qur'an dan as-Sunnah.
Maka, apabila isu zikir ini timbul. Apa yang mahu saya tekankan adalah, pentingnya kita kembali kepada al-Qur'an dan as-Sunnah.
Abaikan saja isu Wahhabi atau bukan Wahhabi.
Sebagai menghormati Mazhab Kebangsaan kita, Mazhab Syafi'e, berikut saya dahulukan pendapat Imam asy-Syafi'e sendiri berkenaan isu zikir selepas solat ini. Juga sebagai sebuah pengiktirafan bahawa beliau adalah salah seorang ulama besar dalam dunia ilmu yang wajar dijadikan sebagai contoh dan ikutan.
Imam asy-Syafi'e rahimahullah menjelaskan sebagaimana berikut:
وَأَخْتَارُ للامام وَالْمَأْمُومِ أَنْ يَذْكُرَا اللَّهَ بَعْدَ الِانْصِرَافِ من الصَّلَاةِ وَيُخْفِيَانِ الذِّكْرَ إلَّا أَنْ يَكُونَ إمَامًا يَجِبُ أَنْ يُتَعَلَّمَ منه فَيَجْهَرَ حتى يَرَى أَنَّهُ قد تُعُلِّمَ منه ثُمَّ يُسِرُّ فإن اللَّهَ عز وجل يقول {وَلَا تَجْهَرْ بِصَلَاتِك وَلَا تُخَافِتْ بها} يعنى وَاَللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ الدُّعَاءَ وَلَا تَجْهَرْ تَرْفَعْ وَلَا تُخَافِتْ حتى لَا تُسْمِعَ نَفْسَك
Terjemahan: Aku berpendapat bahawa seseorang imam dan makmum hendaklah mereka berzikir kepada Allah di setiap kali selesai solat, dan hendaklah mereka merendahkan suara zikirnya, melainkan bagi seseorang imam yang mahu menunjuk-ajar para makmumnya berkenaan zikir, maka dia boleh mengeraskan suara/bacaan zikirnya, sehingga apabila dia telah mengetahui bahawa para makmum telah tahu, maka hendaklah dia kembali merendahkan suara zikirnya, kerana Allah 'Azza wa Jalla berfirman (maksudnya):
وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا
Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya. (Surah al-Israa', 17: 110)
Maksud kata الصلاة (ash-Sholah) wallahu Ta'ala a'lam adalah doa. لا تَجْهَرْ (Laa Tajhar): Janganlah engkau mengangkat suaramu, وَلا تُخَافِتْ (wa laa tukhofit): Janganlah engkau rendahkan sehingga engkau sendiri tidak mendengarnya. (Rujuk: Imam asy-Syafi'e, al-Umm, 1/127)
Perkara ini turut diperkuatkan lagi dengan penjelasan salah seorang ulama besar bermazhab Syafi'e iaitu Imam an-Nawawi rahimahullah:
قال اصحابنا إن الذكر والدعاء بعد الصلاة يستحب أن يسر بهما إلا أن يكون اماما يريد تعليم الناس فيجهر ليتعلموا فإذا تعلموا وكانوا عالمين أسره
Terjemahan: Para ulama dari mazhab Syafi'e (ash-haabunaa), berkata: Zikir dan doa setelah solat, disunnahkan supaya dilakukan dengan merendahkan suara, kecuali apabila dia seorang imam yang hendak membimbing (mengajar) orang lain (para makmum), maka dibolehkan untuk mengeraskan (menguatkan) suaranya, supaya mereka semua dapat belajar darinya, dan apabila diketahui bahawa mereka telah memahami serta sudah tahu (akan zikir-zikirnya), maka hendaklah dia kembali berzikir dengan merendahkan suara. (Rujuk: Imam an-Nawawi, al-Majmu' Syarah al-Muhazzab, 3/487)
Dari dua perkataan ulama besar ini, kita dapat melihat beberapa titik penting dalam persoalan zikir sebaik selesai solat fardhu:
1 – Mazhab asy-Syafi'e menyatakan bahawa amalan berzikir di setiap kali setelah selesai solat fardhu adalah sunnah (dianjurkan).
2 – Cara berzikir selepas solat adalah dilaksanakan dengan secara individu.
3 – Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan, cukup sekadar diri sendiri yang mendengarnya.
Demikianlah tiga isi utama yang dapat kita ambil dari perkataan Imam asy-Syafi'e dan Imam an-Nawawi di atas.
Jadi, jika benar kelompok Wahhabi meninggalkan atau menolak amalan berzikir selepas solat fardhu, maka kefahaman ini jelas bertentangan dengan apa yang dinyatakan oleh Imam dari mazhab Syafi'e tadi.
Malah, berzikir setelah solat, ianya adalah bersandarkan kepada hadis-hadis yang sahih. Cukuplah saya bawakan salah satu contoh zikir yang tsabit dari sunnah yang dianjurkan untuk diamalkan. Dari sebuah hadis, Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
Terjemahan: Sesiapa yang di setiap kali selesai solatnya (solat fardhu), dia menyucikan Allah (berzikir Subhanallah) 33 kali, memuji Allah (mengucapkan al-hamdulillah) 33 kali, dan membesarkan Allah (mengucapkan Allahu Akhbar) 33 kali, yang semuanya menjadi 99 kali kemudian dicukupkan 100 kali dengan Laa ilaaha illallahu wahdahu la syarikalah... maka, Allah akan mengampuni kesalahan-kesalahannya walaupun sebanyak buih di lautan. (Hadis Riwayat Muslim, Bab: Zikir-zikir yang dianjurkan sebaik selesai solat, 3/262, no. 939. Dari hadis Abi Hurairah radhiyallahu 'anhu. Rujuk zikir-zikir seterusnya: Klik Blog Fiqh)
Maka, dengan terang lagi bersuluh dengan bersandarkan kepada hadis Nabi dan perkataan dua ulama besar dari mazhab asy-Syafi'e bahawa berzikir setelah selesai solat fardhu itu hukumnya adalah dianjurkan (sunnah).
Jika benar Wahhabi menolak sunnah berzikir setelah solat fardhu ini (sebagaimana yang dinyatakan oleh Dato' Dr. Mashitah), bermakna mereka (kelompok Wahhabi) telah salah.
Namun, perlu kita fahami juga berkenaan dengan adab-adab di dalam berzikir. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh dua imam tadi iaitu:
1 – Cara berzikir selepas solat adalah dilaksanakan dengan secara individu (bukan secara berjama'ah/koir).
2 – Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan, cukup sekadar diri sendiri yang mendengarnya. Apatah lagi dengan berlagu, maka itu jelas-jelas telah salah.
Kesimpulan dari kenyataan Imam asy-Syafi'e dan Imam an-Nawawi ini diperkuatkan lagi dengan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang menyentuh berkenaan adab-adab di dalam berzikir secara umumnya:
وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ
Terjemahan: Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. (Surah al-A'raaf, 7: 205)
Berkenaan ayat ini, seorang lagi ulama besar dalam bidang tafsir yang bermazhab Syafi'e menjelaskan:
وهكذا يستحب أن يكون الذكر لا يكون نداء ولا جهرًا بليغًا
Terjemahan: Demikianlah zikir dianjurkan, iaitu dengan suara yang tidak dikeraskan dan tidak dinyaringkan. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur'anil Adzim, 3/539)
Perkara ini menjadi lebih jelas apabila kita merujuk kepada sebuah hadis, di mana Sahabat bernama Abu Musa al-'Asy'ari menceritakan:
رفع الناس أصواتهم بالدعاء في بعض الأسفار، فقال لهم النبي صلى الله عليه وسلم: "أيها الناس، أربعوا على أنفسكم، فإنكم لا تدعون أصمَّ ولا غائبًا؛ إن الذي تدعونه سميع قريب
Terjemahan: Ketika itu, orang ramai mengeraskan (memperkuatkan) suaranya di dalam berdoa di ketika melakukan safar (perjalanan), maka Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam pun berkata (membantah perbuatan mereka yang mengeraskan suara dalam berdoa):
Wahai manusia, kasihanilah diri kamu. Kerana kamu sebenarnya tidak menyeru kepada yang tuli (pekak) dan yang jauh, sesungguhnya Dzat yang kamu seru adalah Maha Mendengar lagi sangat dekat. (Rujuk: al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur'anil Adzim, 3/539)
Jika ini dapat kita fahami, jelaslah bahawa rata-rata masyarakat negara kita yang mengaku bermazhab Syafi'e sebenarnya telah membelakangkan perkataan Imam-imam besar mereka. Khususnya dalam persoalan berzikir selepas solat yang saya sentuh ini.
Maka wajarlah kita semua secara umumnya untuk bermuhasabah dan memperbaiki semula amalan kita dalam melaksanakan zikir setelah selesai solat (selepas salam). Saranan ini saya tujukan kepada diri saya sendiri khususnya, kemudian kepada golongan Wahhabi jika benar sebagaimana yang dinyatakan oleh Dato' Dr. Mashitah, dan juga kepada masyarakat awam umat Islam di negara kita am-nya yang begitu ketara melanggari garis panduan di dalam berzikir sebagaimana yang telah ditetapkan oleh para imam besar mazhab kita.
Ada pun persoalan-persoalan lainnya yang dibangkitkan oleh Dato' Dr. Mashitah berkenaan fahaman Wahhabi seperti tidak berqunut subuh, tidak bertahlil, dan tidak beryasinan malam Juma'at, maka telah lama saya sentuh di dalam blog fiqh saya. Para pembaca bolehlah merujuk ke sana.
Sebenarnya, persoalan yang diutarakan oleh Dato' Dr. Mashitah tersebut adalah merujuk kepada perbezaan pendapat yang telah lama berlaku, jauh sebelum datangnya era istilah Wahhabi diperkenalkan. Jika kita berusaha untuk bersusah-payah menela'ah, insyaAllah kita pasti akan mampu bertemu dan memahaminya..
Sunday, September 13, 2009
RAMADHAN, MERDEKA & H1N1
RAMADHAN
“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah difardhukan ke atas kamu sebagaimana ia telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” [al-Baqarah 2: 183]
Sayangnya Allah kepada kita, diberikan-Nya satu bulan dalam setahun, untuk kita belajar mencapai TAQWA. Bekalan untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Apakah yang diajar oleh puasa, agar meningkat nilai taqwa? Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan pelajaran. Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan latihan. Tetapi ketika kita ada segalanya untuk dimakan, namun kita memilih untuk tidak makan, kerana mentaati Allah, itulah latihan. Ia adalah latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan diri, supaya kita dapat tingkatkan daya kawalan diri!
Itulah Taqwa. Kawalan kehendak-kehendak sendiri untuk selamatkan diri, rumahtangga, anak dan bini. Bersiap sediakah kita menyambut Ramadhan? Sudah mulakah langkah perubahan? Atau masih ditakuk lama tanpa apa-apa usaha ke arah keadaan yang diredhai Tuhan? Ego sungguh manusia pada Tuhan!
MERDEKA
Rata-rata rakyat Malaysia mengerti makna Kemerdekaan sekadar ulangtahun bebasnya Malaya dari penjajahan British, full stop! Ini satu kesilapan besar dalam memahami erti kemerdekaan. Kemerdekaan perlu diisi dengan usaha-usaha memajukan diri dengan ilmu pengetahuan dan secara tidak langsung dapat memajukan masyarakat dan negara kita yang tercinta ini. Tanpa ilmu, kita akan terus berkiblatkan Barat dan bertuhankan mereka. Malah lebih barat dari barat. Apa-apa sahaja yang datang dari barat akan ditelan bulat-bulat. Malah, sekiranya seluruh wanita barat itu bertudung litup tidak mustahil para pendukung barat di negara kita akan turut bertudung dek kerana idola mereka bertudung di sana!
Bagaimanakah Islam mendefinisikan ’kemerdekaan’? Lihat sahaja dialog di antara Rib’ie bin ’Amir ketika ditanya oleh Rostum, Panglima Tentera Parsi ketika Tentera Islam menghadapi Tentera Parsi. Rostum bertanya, ”mengapakah kamu orang Arab datang ke negeri kami? Adakah kamu kekurangan makanan? Adakah kamu kekurangan bantuan? Supaya kami boleh membantu kamu?
Lihatlah apa yang dijawab oleh Rib’ie, jawapan inilah merakamkan erti sebenar kemerdekaan seorang insan bernama Muslim. Kata Rib’ie :
”Allahlah yang menghantar kami, supaya kami dapat mengeluarkan sesiapa yang Allah kehendaki, daripada mengabdikan diri kepada sesama hamba hanya mengabdikan diri kepada Allah Yang Esa ; daripada kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam ; daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”
Apabila kita faham asas ini, maka kita seharusnya memahami erti kemerdekaan yang sebenar adalah memimpin setiap manusia ke arah jalan Tuhan dan bebaskan diri kita daripada mempertuhankan nafsu dan sesama manusia.
Masih hisap rokok baratkah? Masih berfesyen baratkah?masih berfikiran baratkah?anak-anak dan isterimu kenal Tuhan tak? Rasul jadi panduan atau artis jadi pujaan? Jauh sungguh kita dari Allah dan Rasul!
H1N1
Inilah fenomena yang menyebabkan ramai yang ’berpurdah’ walaupun tak bertudung dek kerana takut mati. Saya anggap ini sebagai bala dari Allah. Setiap hari kematian meningkat, tapi iman kita bagaimana? Meningkat tak? Atau masih di zon selesa menyalahkan kewujudan ’kerbau pendek’ di mana-mana! Kematian di sekeliling kita seharusnya membawa kita dekat pada Tuhan. Taubatlah, tiada apa yang menghalangmu daripada taubat. Hiduplah dengan rasa ”berTuhan” sebelum kafanmu menyelumuti badan. Cuba insafi hadis ini:
”Apabila harta baitul mal tidak dibahagi kepada yang hak,dan amanah menjadi tawanan perang,dan zakat dipandang sebagai denda,belajar ilmu agama bukan kerana Allah,suami taatkan isteri,derhaka kepada ibubapa,bersuara keras di dalam masjid,orang-orang fasik menjadi ketua,orang yang hina menjadi pemimpin,dimuliakan seseorang kerana takutkan kejahatannya,ramai penyanyi-penyanyi wanita,banyak alunan alat-alat muzik bertali,diminum arak daripada pelbagai jenis,orang Islam kemudian melaknat orang Islam yang awal; maka apabila berlaku perkara-perkara itu tunggulah turunnya angin taufan yang dasyat,gempa bumi,sedutan bumi,bertukar rupa manusia keapa kera dan babi,lontaran-lontaran azab,dan azab akan turun satu lepas satu seperti rantai manik yang telah putus dan terburai.”
(HR Tirmidzi )
Ya Allah ampunilah dosa kami!!
Artikel ini dikeluarkan untuk Buletin JPA siri ke 17/2009
Monday, September 7, 2009
KENAPA ‘NENEK MOYANG’ JADI HUJAH AGAMAMU?

Kursus Pengurusan Jenazah berjalan dengan lancar. Hampir 300 pelajar menghadirinya termasuk beberapa para pensyarah. Buat pertama kalinya kursus pengurusan Jenazah tanpa air,kapur barus dan kain kafan. Hanya tayangan multimedia sepenuhnya daripada vcd Tajhiz Janaazah. Sebuah vcd yang lengkap tentang pengurusan Jenazah yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah dari Kitab Ahkaamul Janaaiz.
Sesi soal jawab berjalan lancar. beberapa orang ustaz dan ustazah berusaha bersungguh-sungguh memberi penjelasan kepada setiap soalan yang dilontarkan. kebanyakan yang bertanya terkejut kerana apa yang yang ditayangkan kontradik dengan amalan masyarakat mereka.
"ustaz, kenapa tak boleh bina binaan atas kubur? kebanyakan kubur ada binaan?"
"ustaz, betul ke tak boleh buat kenduri arwah 3 hari,40 hari dan 100 hari?,bukankah masyarakat kita mengamalkannya?"
"ustazah, kenapa tak boleh duduk atas kubur? ustaz saya cakap boleh. kalau tak macamana nak baca talkin?"
"ustaz, amalan yang kita buat ni kan dah turun temurun? tak kan datuk nenek kita sesat kot?"
Inilah sebahagian persoalan yang timbul dalam masyarakat apabila mereka diseru kembali beramal dengan ilmu ( al-Quran dan as-Sunnah ). Pelbagai alasan yang diberikan walaupun terang lagi bersuluh hal yang mereka pertahankan itu menyalahi ajaran Islam. Lebih malang lagi sebahagian masyarakat menganggap semua warisan dan amalan orang tua adalah AGAMA!
CERITA DALAM AL-QURAN
Allah swt mengutus para rasul-Nya dengan tugas yang sama iaitu menyeru manusia agar beribadah kepada Allah swt semata-mata dan menjauhi Toghut. Allah swt berfirman :
Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada Yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula Yang berhak ditimpa kesesatan. oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah Bagaimana buruknya kesudahan umat-umat Yang mendustakan Rasul-rasulNya. ( an-Nahl : 36 )
Dakwah para rasul ini merupakan seruan menuju hikmah diciptakannya manusia di dunia ini sebagaimana firman-Nya :
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. ( adz-Dzariyat : 56 )
Maksudnya, Allah swt menciptakan mereka untuk diperintah beribadah kepada-Nya semata dan menjauhi peribadahan kepada selain-Nya.
SEMUA UMAT MANUSIA MENENTANG DENGAN ALASAN YANG SAMA
Semua umat menentang dakwah para rasul yang mulia dengan hujah yang sama, iaitu mengikuti kebiasaan nenek moyang mereka. Dahulu, masyarakat jahiliah di Mekah melakukan perbuatan syirik dengan tanpa bukti, tanpa petunjuk dan tanpa hujah yang nyata, maka Allah swt berfirman mengingkari mereka :
Pernahkah Kami memberikan mereka sebelum Al-Quran ini sebuah Kitab (yang membenarkan dakwaan mereka), lalu mereka berpegang teguh kepada Kitab itu? (tidak ada sebarang Bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: “Sesungguhnya Kami telah mendapati datuk nenek Kami menurut satu jalan ugama, dan Sesungguhnya Kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja". ( az-Zukhruf 21-22 )
Inilah alasan perbuatan syirik mereka iaitu mengikuti jejak nenek moyang. Oleh kerana itu, Allah swt menjelaskan bahawa alasan mereka itu juga merupakan alasan semua orang kafir pada zaman dahulu :
Dan Demikianlah halnya (orang-orang Yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang Yang berada Dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya Kami dapati datuk nenek Kami menurut satu jalan ugama, dan Sesungguhnya Kami hanya mengikut jejak mereka sahaja". ( az-Zukhruf : 23 )
HUJAH KAUM NUH A.S
Nabi Nuh a.s adalah rasul yang pertama kali yang Allah swt utus di muka bumi. Kaum beliau adalah kaum musyrik yang pertama kali di dunia ini. Beliau menyeru umat beliau untuk mengesakan ibadah hanya untuk Allah swt semata-mata, sebagaimana firman-Nya :
Dan Demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku, Sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?". ( al Mukminun : 23 )
Namun kaum beliau mengingkari kerasulan beliau, dengan alasan bahawa mereka tidak pernah mendenga seruan Nabi Nuh as itu pada masa nenek moyang mereka. Allah berfirman memberitakan hal ini :
Maka ketua-ketua Yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): "orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini Dalam kalangan datuk nenek Kami Yang telah lalu. ( al-Mukminun : 24 )
HUJAH SUKU ’AD, KAUM NABI HUD A.S
Setelah kehancuran kaum nabi Nuh as, umat manusia berkembang kembali. Muncul kemusyrikan pada suku ’Ad, maka Allah mengutus Nabi Hud :
Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadanya? " ( al-a’raf : 35 )
Kemudian lihatlah bantahan suku ’Ad ini kepada Nabinya, mereka berhujjah membela perbuatan syirik mereka dengan kebiasaan nenek moyang mereka.
Mereka berkata: "Adakah Engkau datang kepada Kami supaya Kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa Yang pernah disembah oleh datuk nenek Kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab Yang Engkau janjikan kepada kami, jika betul Engkau dari orang-orang Yang benar". ( al-a’raf : 70 )
HUJAH SUKU TSAMUD, KAUM NABI SHALIH A.S
Demikian juga suku Tsamud, mereka melakukan syirik dengan sebab taqlid buta kepada nenek moyang mereka. Dengan hikmah-Nya, Allah swt mengutus nabi Soleh as kepada mereka :
Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi soleh. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Dia lah Yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya Dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya". ( Hud : 61 )
Namun bagaimana sikap suku Tsamud? Mereka tidak berbeza dengan para pendahulu mereka sesama orang-orang kafir. Mereka menentang dakwah Nabi Soleh as dengan alasan mengikuti nenek moyang.
Mereka menjawab Dengan berkata: "Wahai soleh, Sesungguhnya Engkau sebelum ini adalah orang Yang diharap Dalam kalangan Kami (untuk memimpin kami); Patutkah Engkau melarang Kami daripada menyembah apa Yang disembah oleh datuk nenek Kami? dan (ketahuilah) Sesungguhnya Kami berada Dalam keadaan ragu-ragu Yang merunsingkan tentang apa Yang Engkau serukan Kami kepadanya". ( Hud : 62 )
HUJAH KAUM NABI IBRAHIM A.S
Allah berfirman mengisahkan dakwah nabi Ibrahim as kepada ayahnya dan kaumnya :
Dan Demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan Yang benar Dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya. ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini Yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?" ( AL-ANBIYA : 51-52 )
Maka apakah jawapan mereka kepada Nabi Ibrahim?
Mereka menjawab: "Kami dapati datuk nenek Kami selalu menyembahnya".
( AL ANBIYA 53 )
Mendengar jawapan klasik tersebut, dengan tegas Nabi Ibrahim a.s menegaskan kesesatan mereka yang nyata.
Ia berkata: "Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah Dalam kesesatan Yang nyata".
( AL ANBIYA 54 )
HUJAH KAUM SYUAIB A.S
Kaum yang lain adalah kaum Nabi Syuaib a.s di Madyan, Allah swt berfirman :
Dan kepada penduduk "Madyan" Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya Aku melihat kamu berada Dalam kemewahan; dan Sesungguhnya Aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari Yang meliputi (orang-orang Yang bersalah). ( HUD 84 )
Bantahan mereka serupa dengan orang-orang kafir sebelumnya.
Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan Kami supaya meninggalkan apa Yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya Kami lakukannya apa Yang Kami suka melakukannya Dalam menguruskan harta Kami? Sesungguhnya Engkau (Wahai Syuaib) adalah orang Yang penyabar, lagi bijak berakal (maka Bagaimana pula Engkau menyuruh Kami melakukan perkara Yang bertentangan Dengan kebiasaan kami)?" ( HUD 87 )
HUJAH KAUM NABI YUSUF A.S
Nabi Yusuf saw diutus kepada bangsa Mesir. Beliau memulakan dakwahnya ketika berada di dalam penjara lagi. Beliau mengingatkan sahabatnya di penjara bahawa kesyirikan yang dilakukan oleh Bangsa Mesir waktu itu hanyalah dibuat oleh mereka sendiri dan nenek moyang mereka. Allah swt mengisahkan perkataan beliau :
"Wahai sahabatku berdua Yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang Tuhan Yang bercerai-berai itukah Yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa? apa Yang kamu sembah, Yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama Yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang Bukti Yang membenarkannya. sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan dia. Yang demikian itulah ugama Yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (YUSUF : 39-40 )
HUJAH KAUM NABI MUSA A.S
Nabi Musa as dan Nabi harun as juga diutuskan kepada bangsa Mesir selain Bani Israil. Allah swt berfirman tentang keduanya :
Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya Dengan membawa ayat-ayat kami; lalu mereka (Firaun dan kaumnya) berlaku sombong takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum Yang biasa melakukan dosa. ( YUNUS : 75 )
Namun ternyata Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya menolak dakwah kedua Rasul mulia itu dengan hujjah yang sama seperti orang-orang kafir yang lain.
Mereka pula berkata: "Adakah Engkau datang (Wahai Musa) untuk memesongkan Kami dari penyembahan berhala Yang Kami dapati datuk nenek Kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? dan (ketahuilah) sebenarnya Kami tidak akan beriman kepada kamu berdua". ( YUNUS : 78 )
HUJAH KAUM NABI MUHAMMAD SAW
Rasul terakhir yang Allah swt utus di dunia ini mengalami hal yang sama. Kaum Quraisy lebih memilih mengikuti nenek moyang mereka daripada mengikuti petunjuk Allah swt. Allah swt berfirman :
Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Turutlah akan apa Yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab:" (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa Yang Kami dapati datuk nenek Kami melakukannya". Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan Yang menjerumuskan mereka) ke Dalam azab api neraka Yang marak menjulang? ( LUQMAN : 21 )
Bahkan tokoh-tokoh Quraisy berusaha menghalangi keislaman Abu Thalib iaitu pakcik Nabi saw, dengan hujjah mengikuti agama orang tuanya. Maka akhirnya, Abu Thalib lebih memilih kekafiran daripada keimanan. Hal ini dikisahkan di dalam hadith berikut ini :
Dari Said bin Musayyab, dari bapanya, dia berkata : ”Ketika kematian mendatangi Abu Thalib, Rasulullah saw menziarahinya. Baginda mendapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah bin al-Mughirah berhampiran Abu Thalib. Baginda berkata: ”Wahai pakcikku, katakanlah Laa ilaha illallah, sebuah kalimat yang akan aku berhujjah dengannya untukmu di sisi Allah!” Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah mengatakan: ” ( Wahai Abu Thalib ) apakah engkau akan meninggalkan agama Abdul Muthalib?”. rasulullah saw terus-menerus menawarkan kalimat itu kepadanya, dan keduanya juga mengulangi perkataan tersebut. Sehingga akhir perkataan yang dikatakan Abi Thalib kepada mereka bahawa dia tetap di atas agama Abdul Muthalib. Dia enggan mengatakan Laa ilaaha illallah.” ( HR Bukhari no.4772 ; Muslim no. 24 )
Demikian pula, setelah baginda berhijrah ke Madinah. Orang-orang Yahudi yang termasuk umat dakwah baginda saw, lebih memilih mengikuti nenek moyang mereka daripada mengikuti petunjuk yang beliau bawa dari Allah swt.
Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa Yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan Kami (hanya) menurut apa Yang Kami dapati datuk nenek Kami melakukannya". Patutkah (Mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (Apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?
(AL BAQARAH 170 )
PENUTUP
Setelah kita mengetahui sikap para umat terhadap para rasul mereka, yang menentang al-haq dengan hujjah mengikuti nenek moyang, maka tidak hairan betapa banyak masyarakat sekarang yang menolak al-haq dengan hujjah mengikut tradisi orang tua, warisan turun- temurun, adat dan kebiasaan orang ramai buat. Sungguh ajaib sebahagian kaum muslimin menolak hujjah al-Quran dan as-Sunnah semata-mata mempertahankan sesuatu yang tiada dalil tentangnya. Semoga tulisan ini menyedarkan kita bahawa nilai kebenaran itu ukurannya adalah al-Quran dan as-sunnah sebagai hujjah syarak. Maka, sesiapa sahaja yang menyalahi kedua-dua sumber tersebut maka perlu kembali ke jalan yang benar walaupun dia seorang tokoh, ilmuan, orang tua atau sesiapa sahaja.
Tuesday, August 25, 2009
PEREMPUAN HAID BOLEH MEMBACA AL-QURAN?

Hukum wanita yang didatangi haid membaca al-Qur’an.
Dalam persoalan ini terdapat sebuah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid.
( Dha‘if: Hadis daripada ‘Abd Allah ibn Umar radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Daruquthni dan lain-lain. Ia memiliki 3 jalan periwayatan yang semuanya dha‘if. Shaikh al-Albani tidak menjadikannya penguat antara satu sama lain manakala Badri ‘Abd al-Samad berpendapat ia saling menguat sehingga dapat diangkat ke taraf hasan (hasan lighairihi). Lihat Irwa al-Ghaleel fi Takhrij Ahadith Manar al-Sabil (Maktabah al-Islami, Beirut), hadis no: 192 dan al-Ittihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf, jld 1, ms 83-84.
Hadis ini memiliki beberapa jalan periwayatan namun setiap darinya adalah dha‘if. Berkata Imam al-Nawawi rahimahullah (676H): Majmu’ Syarh al-Muhazzab (Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut 2001), jld. 2, ms. 123-125 (Kitab Taharah, Bab Apa yang mewajibkan mandi, Bab Hukum terhadap 3 perkara).
Adapun hadis Ibn Umar: “Tidak boleh membaca sesuatu apa jua daripada al-Qur’an seorang yang dalam keadaan junub atau haid” , maka ia diriwayatkan oleh al-Tirmizi, Ibn Majah, al-Baihaqi dan selainnya. Ia adalah hadis yang dha‘if, didha‘ifkan oleh al-Bukhari, al-Baihaqi dan selainnya. Kedha‘ifan yang terdapat padanya adalah jelas.
Namun sebahagian ahli fiqh tetap melarang seorang wanita yang sedang haid daripada membaca al-Qur’an kerana diqiyaskan keadaan haid kepada keadaan junub. Lihat Majmu Syarh al-Muhazzab jld. 2, ms. 267-268 (Kitab Haid, berkata al-Musannif: “Dan dilarang atasnya membaca Qur’an….”).
Namun hal ini dianggap tidak tepat kerana dua sebab:
1. Peranan qiyas ialah mengeluarkan hukum bagi perkara-perkara yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apa-apa perkara baru yang wujud selepas itu, maka hukumnya disandarkan secara analogi kepada sesuatu yang sudah sedia dihukumkan pada zaman Rasulullah berdasarkan kesamaan sebabnya (‘illat). Adapun haid, maka ia adalah sesuatu yang wujud secara lazim pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Apabila pada zaman itu Allah dan Rasul-Nya tidak menjatuhkan hukum melarang wanita yang haid daripada membaca al-Qur’an, maka tidak perlu bagi orang-orang terkemudian membuat hukum yang baru.
2. Haid dan junub adalah dua keadaan yang jauh berbeza. Junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan.
Sebahagian lain melarang atas dasar memelihara kesucian dan keagungan al-Qur’an. Justeru mereka berpendapat tidak boleh membaca (mentilawahkan) al-Qur’an kecuali beberapa perkataan atas dasar zikir dan memperoleh keberkatan. Lihat al-Kasani – al-Bada‘i al-Sona‘i (Dar al-Kitab al-Arabi, Beirut 1982), jld. 1, ms. 38 (Bab permasalahan adab-adab wudhu’).
Pendapat ini juga dianggap kurang tepat kerana seseorang wanita, sama ada dalam keadaan haid atau tidak, tetap dianggap suci dan dihalalkan bagi mereka semua yang dihalalkan melainkan wujudnya dalil yang sahih yang melarang sesuatu ibadah seperti solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Adapun pensyari‘atan mandi wajib selepas berakhirnya tempoh haid, ia adalah penyucian atas sesuatu yang sedia suci dan bukannya penyucian atas sesuatu yang sebelum itu bersifat najis. Oleh itu tidaklah berkurang sedikitpun kesucian dan keagungan al-Qur’an apabila ia dibaca oleh seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid.
Pernah sekali Abu Hurairah radhiallahu 'anh mengasingkan diri daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Beliau balik ke rumah untuk mandi wajib dan kemudian kembali. Rasulullah bertanya kenapakah dilakukan sedemikian, lalu Abu Hurairah menerangkan bahawa tadi beliau sebenarnya dalam keadaan junub. Mendengar itu Rasulullah bersabda:
Subhanallah! Wahai Abu Hurairah! Sesungguhnya orang mukmin tidaklah ia menjadi najis.
(Sahih: Ringkasan hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim, lihat al-Lu’ Lu’ wa al-Marjan (Fu‘ad Abdul Baqi; Dar al-Salam, Riyadh 1995) – hadis no: 210.)
Kata-kata Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di atas bersifat umum, menunjukkan bahawa seorang mukmin tidaklah ia sekali-kali akan berada dalam keadaan najis sekalipun dia dalam keadaan junub. Termasuk dalam keumuman hadis ini ialah wanita yang sedang haid.
Sebagai rumusan kepada kupasan ini, berikut dinukil kata-kata Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H):
Sesungguhnya para wanita mereka mengalami haid pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, maka seandainya membaca al-Qur’an diharamkan ke atas mereka (ketika haid) sepertimana solat, pasti baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam akan menjelaskannya kepada umatnya. Baginda akan mengajarnya kepada para Ummul Mukminun (para isteri baginda) dan akan dinukil daripada mereka oleh orang ramai. Akan tetapi tidak ada satupun (riwayat) yang melarang yang dinukil daripada Nabi. Oleh itu hal ini tidak boleh dianggap terlarang padahal telah diketahui bahawa baginda tidak melarangnya. Justeru jika baginda tidak melarangnya padahal ramai wanita yang haid di zamannya, maka sesungguhnya ketahuilah bahawa ia sememangnya tidak haram.
( Rujuk : Majmu al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 26, ms. 191. Lihat juga pembahasan Ibn Hazm dalam al-Muhalla (Dar Ihya’ al-Turath al-Arabi, Beirut), jld. 1, ms. 78-85 (Masalah no: 116: Membaca al-Qur’an dan bersujud dan menyentuh mushaf).
Kesimpulan:
Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:
Alif-Lam-Mim. Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya; ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa. [al-Baqarah 2:1-2]
Setiap individu Muslim yang bertaqwa memerlukan al-Qur’an sebagai kitab yang memberi petunjuk kepada mereka. Petunjuk ini diperlukan pada setiap masa dan tempat, termasuk oleh para wanita ketika mereka didatangi haid. Tidak mungkin untuk dikatakan bahawa ketika haid mereka tidak memerlukan petunjuk dalam kehidupan sehari-harian mereka. Atas keperluan inilah al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih tidak melarang para wanita yang didatangi haid daripada memegang dan membaca al-Qur’an seperti biasa. Adapun pendapat yang mengatakan ianya haram, ia adalah pendapat yang lemah sekalipun masyhur.
WALLAHU A'LAM
sumber : www.hafizfirdaus.com
PEREMPUAN HAID BOLEH MEMEGANG AL-QURAN?

Antara soalan yang lazim dikemukakan oleh para muslimah adalah bagaimana mereka dapat memanfaatkan bulan Ramadhan apabila didatangi haid. Ini kerana apabila mereka didatangi haid, mereka tidak boleh berpuasa, tidak boleh bersolat – khasnya solat tarawih dan tidak boleh membaca al-Qur’an. Lalu apakah yang boleh mereka amalkan agar hari-hari Ramadhan tidak berlalu begitu sahaja ketika mereka didatangi haid?
Penulis menjawab, kalian boleh membaca al-Qur’an ketika haid. Jawapan ini secara automatis dibalas dengan soalan: “Bukankah wanita yang didatangi haid dilarang daripada memegang dan membaca al-Qur’an?” Soalan ini memerlukan jawapan yang panjang lagi mendalam.
Berikut adalah jawapan penulis tentang hukum sebenar bagi wanita memegang dan membaca al-Qur’an ketika didatangi haid, sama ada di bulan Ramadhan atau selain Ramadhan.
Hukum wanita yang didatangi haid memegang al-Qur’an.
Umumnya terdapat dua pendapat, yang pertama mengatakan tidak boleh manakala yang kedua berkata boleh.
Pendapat yang pertama merujuk kepada firman Allah:
Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci. [al-Waqiah 56:79]
Diikuti dengan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Tidaklah menyentuh al-Qur’an dan tidak juga mushaf melainkan orang yang suci.
(Sahih: Hadis daripada ‘Amr bin Hazm radhiallahu 'anh, dikeluarkan oleh Ibn Hibban, al-Hakim, Baihaqi dan lain-lain melalui beberapa jalan yang setiap darinya memiliki kelemahan. Namun setiap darinya saling menguat antara satu sama lain sehingga dapat diangkat ke taraf sahih, atau setepatnya sahih lighairihi. Lihat semakan Badri Abdul al-Samad dalam al-Itihaf bi Takhrij Ahadith al-Isyraf ‘ala Masail al-Ikhtilaf (Dar al-Buhts, Dubai 1999), jld. 1, ms. 77-82.)
Manakala bagi pendapat kedua, mereka berpegang kepada kaedah bahawa seseorang wanita yang sedang haid boleh melakukan semua perkara seperti biasa melainkan wujud dalil tepat (qathi) yang melarangnya. Dalam hal ini yang jelas dilarang adalah bersolat, berpuasa, melakukan tawaf dan bersetubuh. Adapun hukum memegang al-Qur’an, tidak ada dalil tepat yang melarang seseorang yang sedang haid daripada memegangnya.
Ayat al-Qur’an yang dijadikan rujukan oleh pendapat pertama adalah tidak tepat untuk dijadikan hujah kerana perkataan al-Mutatahharun sebenarnya merujuk kepada para malaikat sebagaimana yang boleh dilihat daripada keseluruhan ayat yang berkaitan:
Bahawa sesungguhnya itu ialah Al-Quran yang mulia, Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci; Al-Quran itu diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. [al-Waqiah 56:77-80]
Ayat yang sama ini juga digunakan oleh mereka yang berpendapat wajib berwudhu’ sebelum memegang al-Qur’an, baik bagi lelaki atau wanita. Berdasarkan penjelasan yang sama di atas, dapat diketahui bahawa tidaklah tepat untuk menggunakan ayat ini sebagai dalil wajib berwudhu’. Oleh itu yang benar adalah, boleh memegang dan membaca al-Qur’an sekalipun tanpa berwudhu’.
Berkata Ibnu Abbas radhiallahu 'anh, ayat “fii Kitabim-maknun” bererti di langit, yakni di al-Lauh al-Mahfuz manakala al-Mutatahharun adalah para malaikat yang suci.
Demikian juga keterangan beberapa sahabat dan tabi‘in sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Thabari dalam Jamii al-Bayan (Dar al-Fikr, Beirut 1999), riwayat no: 25955 – 25970. Lihat juga al-Mawardi - Al-Nukatu wa al-‘Uyun (Dar al-Kutub al-Ilmiyah, Beirut), jld. 5, ms. 463-464.
Justeru keseluruhan ayat sebenarnya menerangkan tentang kitab al-Qur’an yang sebelum ini tersimpan dalam al-Lauh al-Mahfuz, di sana ia tidak disentuh oleh sesiapa kecuali para malaikat sehinggalah ia diturunkan ke bumi kepada manusia.
Hadis yang dijadikan dalil melarang adalah juga tidak tepat sandarannya kerana perkataan al-Taharun yang bererti suci adalah satu perkataan yang memiliki banyak erti (lafaz Mushtarak) dan mengikut kaedah Usul Fiqh: Sesuatu perkataan yang memiliki banyak erti tidak boleh dibataskan kepada satu maksud tertentu melainkan wujud petunjuk yang dapat mendokongi pembatasan tersebut.
Perkataan suci dalam hadis di atas boleh bererti suci daripada najis seperti tahi dan air kencing. Boleh juga bererti suci daripada hadas besar seperti haid dan junub, dan suci daripada hadas kecil yakni seseorang yang dalam keadaan wudhu’. Ia juga boleh bererti suci dari sudut akidah sepertimana firman Allah terhadap orang-orang musyrik:
Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis. [al-Taubah 9:28]
Oleh itu perlu dicari maksud sebenar kepada perkataan suci dalam hadis di atas. Salah satu caranya ialah dengan mengkaji keseluruhan hadis di mana ia sebenarnya adalah sepucuk surat yang dihantar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kepada seorang sahabat di Yaman. Pada saat itu Yaman adalah sebuah wilayah yang penduduknya masih terdiri daripada campuran orang bukan Islam dan Islam, justeru kemungkinan yang besar adalah surat tersebut bertujuan melarang al-Qur’an daripada disentuh oleh orang bukan Islam.
Himpunan antara asal usul hadis dan rujukan al-Qur’an kepada orang musyrik sebagai najis dapat mengarah kepada satu petunjuk yang tepat bahawa erti suci dalam hadis di atas sebenarnya merujuk kepada orang Islam. Justeru keseluruhan hadis sebenarnya melarang orang-orang bukan Islam daripada memegang kitab atau mushaf al-Qur’an.
Akhirnya jika dianalisa antara dua pendapat di atas, yang lebih tepat adalah pendapat kedua yang membolehkan seorang wanita yang sedang haid untuk memegang al-Qur’an.
wallahu a'lam
sumber : www.hafizfirdaus.com
Subscribe to:
Posts (Atom)