Monday, August 10, 2009

VAKSIN UNTUK VIRUS SOSIAL


Al-Quran merakamkan dan sejarah turut membuktikan gejala sosial terburuk di muka bumi pernah diungguli oleh masyarakat Arab Jahiliah. Mereka mensyirikkan Allah, berzina, membunuh anak perempuan, minum arak, berperang dan bermacam-macam onar yang menyalahi fitrah manusiawi. Di zaman tersebut, kerajaan Romawi dan Parsi yang memiliki bala tentera terhebat dan mampu menumbangkan mana-mana kuasa besar pun tidak berselera untuk meratah jazirah Arab kerana bimbang masyarakat Arab Jahiliah menjadi sebahagian daripada masyarakat mereka dan merosakkan imej bangsa mereka yang bertamadun.

Begitulah hinanya masyarakat Arab Jahiliah. Sehinggalah Allah membangkitkan dari kalangan mereka seorang Rasul yang menerima wahyu ( al-Quran ) yang menjelaskan peraturan Allah dan tanggunggjawab manusia. Akhirnya bangsa yang hina ini menjadi umat yang cukup hebat dan sejarah melakar kisah mereka dengan tinta emas! Mereka menyeru umat manusia supaya tidak mengabdikan diri sesama mereka tetapi mengabdikan diri kepada Allah. Kerajaan yang hebat dan Raja yang angkuh tersungkur rebah kepada mereka. Begitulah Allah memuliakan manusia.

Sekarang, rasul telah wafat. Virus Jahiliah melanda kembali. Umat Islam terpinggir dan terhina walaupun kebanyakkan mereka pemilik bumi yang kaya. Walaupun sakit, mereka menelan dengan rakus racun-racun barat yang semakin hari meratah tubuh mereka. Agama hanya menjadi warisan keturunan dan nama sahaja. Al-Quran menjadi penghias dinding dan tangkal untuk menghalau hantu. Mereka tersesat mencipta pelbagai vaksin untuk menyembuhkan diri. Macam-macam formula yang timbul sehingga ada yang sanggup mevisualkan alam kubur. Mereka buta sebenarnya, kerana vaksin terbaik dan ampuh berada di sisi mereka iaitu Tauhidullah berpandukan al-Quran dan as-Sunnah! Inilah vaksin rasul merawat masyarakat Arab Jahiliah. Fikir-fikirkanlah..

( Artikel ini ditulis untuk Buletin JPA edisi 1/08 dan pernah dipaparkan dalam Majalah i bil 75/ Januari 2009 )

No comments:

Post a Comment