Monday, August 10, 2009
PEPERIKSAAN : Dunia dan Akhirat
Peperiksaan”.. Satu istilah yang menyebabkan kita semua menjadi sibuk dan penat. Pelajar sibuk membuat persediaan akhir, ibu bapa barangkali sibuk juga mendoakan kejayaan anak-anak mereka, petugas peperiksaan pula sibuk menyemak jadual tugasan mengawas dan dalam masa yang sama menghitung hari untuk mengecap nikmat cuti yang agak panjang untuk kali terakhir!
Saya teringat zaman persekolahan dahulu, setiap kali kami masuk dewan peperiksaan, ustaz kami akan membaca doa : Allahumma najjahna fil imtihaanina fid dunya wal aakhirah.. ( Ya Allah, kurniakanlah kami kejayaan dalam peperiksaan kami di dunia dan di akhirat ) Doa ini ringkas tapi besar pengertiannya.
Barangkali doa ini ada dua maksud. Yang pertama untuk bangkitkan iman kami yang agak nakal pada waktu itu supaya rasa ”diawasi” Tuhan ketika menjawab soalan. Dan yang kedua, hidup kita ini sebenarnya sepanjang masa menduduki peperiksaan Tuhan! Sama ada melanggar peraturan secara sembunyi atau nyata, membuat persediaan rapi untuk menjawab soalan dan berhenti menjawab apabila masa yang ditetapkan tamat. Saya selalu berangan agar setiap manusia menghayati maksud doa ini tetapi ”memberi hidayah” tetap pekerjaan Tuhan.
Setiap amal perbuatan kita akan diberi markah ( pahala ), sama ada kita sedar atau tidak. Dan setiap perbuatan dosa akan dicatat tanpa ada yang tercicir walaupun sebesar zarah. Apabila tiba waktu kematian, kita tidak berpeluang lagi menambah markah kita kerana waktu menjawab telah tamat. Hal ini dirakamkan oleh al-Quran tentang kekecewaan manusia di akhirat nanti yang tidak memanfaatkan masa yang diberi untuk melakukan kebaikan : Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya akan segala yang kami ingkari dahulu maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik, sesungguhnya kami sekarang telah yakin. ( as-Sajdah : 12 )
Melainkan tiga talian hayat yang tetap berterusan diberi markah sepertimana disabdakan oleh Nabi SAW : Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara : sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakannya. ( HR Bukhari )
Hidup kita adalah peperiksaan. Selamat menduduki peperiksaan dunia dan akhirat. Dan agak malang, kita tidak diberitahu bila waktunya ”tamat” waktu menjawab.
( artikel ini ditulis unyuk Buletin JPA edisi 2/2008 )
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment