Monday, September 7, 2009

KENAPA ‘NENEK MOYANG’ JADI HUJAH AGAMAMU?


Kursus Pengurusan Jenazah berjalan dengan lancar. Hampir 300 pelajar menghadirinya termasuk beberapa para pensyarah. Buat pertama kalinya kursus pengurusan Jenazah tanpa air,kapur barus dan kain kafan. Hanya tayangan multimedia sepenuhnya daripada vcd Tajhiz Janaazah. Sebuah vcd yang lengkap tentang pengurusan Jenazah yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah dari Kitab Ahkaamul Janaaiz.

Sesi soal jawab berjalan lancar. beberapa orang ustaz dan ustazah berusaha bersungguh-sungguh memberi penjelasan kepada setiap soalan yang dilontarkan. kebanyakan yang bertanya terkejut kerana apa yang yang ditayangkan kontradik dengan amalan masyarakat mereka.

"ustaz, kenapa tak boleh bina binaan atas kubur? kebanyakan kubur ada binaan?"

"ustaz, betul ke tak boleh buat kenduri arwah 3 hari,40 hari dan 100 hari?,bukankah masyarakat kita mengamalkannya?"

"ustazah, kenapa tak boleh duduk atas kubur? ustaz saya cakap boleh. kalau tak macamana nak baca talkin?"

"ustaz, amalan yang kita buat ni kan dah turun temurun? tak kan datuk nenek kita sesat kot?"

Inilah sebahagian persoalan yang timbul dalam masyarakat apabila mereka diseru kembali beramal dengan ilmu ( al-Quran dan as-Sunnah ). Pelbagai alasan yang diberikan walaupun terang lagi bersuluh hal yang mereka pertahankan itu menyalahi ajaran Islam. Lebih malang lagi sebahagian masyarakat menganggap semua warisan dan amalan orang tua adalah AGAMA!

CERITA DALAM AL-QURAN

Allah swt mengutus para rasul-Nya dengan tugas yang sama iaitu menyeru manusia agar beribadah kepada Allah swt semata-mata dan menjauhi Toghut. Allah swt berfirman :

Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus Dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut". maka di antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada Yang diberi hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula Yang berhak ditimpa kesesatan. oleh itu mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah Bagaimana buruknya kesudahan umat-umat Yang mendustakan Rasul-rasulNya. ( an-Nahl : 36 )

Dakwah para rasul ini merupakan seruan menuju hikmah diciptakannya manusia di dunia ini sebagaimana firman-Nya :

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. ( adz-Dzariyat : 56 )

Maksudnya, Allah swt menciptakan mereka untuk diperintah beribadah kepada-Nya semata dan menjauhi peribadahan kepada selain-Nya.

SEMUA UMAT MANUSIA MENENTANG DENGAN ALASAN YANG SAMA

Semua umat menentang dakwah para rasul yang mulia dengan hujah yang sama, iaitu mengikuti kebiasaan nenek moyang mereka. Dahulu, masyarakat jahiliah di Mekah melakukan perbuatan syirik dengan tanpa bukti, tanpa petunjuk dan tanpa hujah yang nyata, maka Allah swt berfirman mengingkari mereka :

Pernahkah Kami memberikan mereka sebelum Al-Quran ini sebuah Kitab (yang membenarkan dakwaan mereka), lalu mereka berpegang teguh kepada Kitab itu? (tidak ada sebarang Bukti bagi mereka) bahkan mereka (hanyalah) berkata: “Sesungguhnya Kami telah mendapati datuk nenek Kami menurut satu jalan ugama, dan Sesungguhnya Kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja". ( az-Zukhruf 21-22 )

Inilah alasan perbuatan syirik mereka iaitu mengikuti jejak nenek moyang. Oleh kerana itu, Allah swt menjelaskan bahawa alasan mereka itu juga merupakan alasan semua orang kafir pada zaman dahulu :

Dan Demikianlah halnya (orang-orang Yang taqlid buta); Kami tidak mengutus sebelummu (Wahai Muhammad) kepada (penduduk) sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang Yang berada Dalam kemewahan di negeri itu berkata: "Sesungguhnya Kami dapati datuk nenek Kami menurut satu jalan ugama, dan Sesungguhnya Kami hanya mengikut jejak mereka sahaja". ( az-Zukhruf : 23 )

HUJAH KAUM NUH A.S

Nabi Nuh a.s adalah rasul yang pertama kali yang Allah swt utus di muka bumi. Kaum beliau adalah kaum musyrik yang pertama kali di dunia ini. Beliau menyeru umat beliau untuk mengesakan ibadah hanya untuk Allah swt semata-mata, sebagaimana firman-Nya :

Dan Demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah ia: "Wahai kaumku, Sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadaNya?". ( al Mukminun : 23 )

Namun kaum beliau mengingkari kerasulan beliau, dengan alasan bahawa mereka tidak pernah mendenga seruan Nabi Nuh as itu pada masa nenek moyang mereka. Allah berfirman memberitakan hal ini :

Maka ketua-ketua Yang kafir dari kaumnya berkata (sesama sendiri)): "orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, ia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. dan kalaulah Allah berkehendak (mengutuskan seorang Rasul) tentulah ia menurunkan malaikat menjadi RasulNya. Kami tidak pernah mendengar seruan seperti ini Dalam kalangan datuk nenek Kami Yang telah lalu. ( al-Mukminun : 24 )

HUJAH SUKU ’AD, KAUM NABI HUD A.S

Setelah kehancuran kaum nabi Nuh as, umat manusia berkembang kembali. Muncul kemusyrikan pada suku ’Ad, maka Allah mengutus Nabi Hud :

Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadanya? " ( al-a’raf : 35 )

Kemudian lihatlah bantahan suku ’Ad ini kepada Nabinya, mereka berhujjah membela perbuatan syirik mereka dengan kebiasaan nenek moyang mereka.

Mereka berkata: "Adakah Engkau datang kepada Kami supaya Kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa Yang pernah disembah oleh datuk nenek Kami? (Kami tidak akan menurut) maka datangkanlah azab Yang Engkau janjikan kepada kami, jika betul Engkau dari orang-orang Yang benar". ( al-a’raf : 70 )


HUJAH SUKU TSAMUD, KAUM NABI SHALIH A.S

Demikian juga suku Tsamud, mereka melakukan syirik dengan sebab taqlid buta kepada nenek moyang mereka. Dengan hikmah-Nya, Allah swt mengutus nabi Soleh as kepada mereka :

Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi soleh. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Dia lah Yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya Dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya". ( Hud : 61 )

Namun bagaimana sikap suku Tsamud? Mereka tidak berbeza dengan para pendahulu mereka sesama orang-orang kafir. Mereka menentang dakwah Nabi Soleh as dengan alasan mengikuti nenek moyang.

Mereka menjawab Dengan berkata: "Wahai soleh, Sesungguhnya Engkau sebelum ini adalah orang Yang diharap Dalam kalangan Kami (untuk memimpin kami); Patutkah Engkau melarang Kami daripada menyembah apa Yang disembah oleh datuk nenek Kami? dan (ketahuilah) Sesungguhnya Kami berada Dalam keadaan ragu-ragu Yang merunsingkan tentang apa Yang Engkau serukan Kami kepadanya". ( Hud : 62 )

HUJAH KAUM NABI IBRAHIM A.S

Allah berfirman mengisahkan dakwah nabi Ibrahim as kepada ayahnya dan kaumnya :

Dan Demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan Yang benar Dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya. ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: "Apakah hakikatnya patung-patung ini Yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?" ( AL-ANBIYA : 51-52 )

Maka apakah jawapan mereka kepada Nabi Ibrahim?

Mereka menjawab: "Kami dapati datuk nenek Kami selalu menyembahnya".
( AL ANBIYA 53 )

Mendengar jawapan klasik tersebut, dengan tegas Nabi Ibrahim a.s menegaskan kesesatan mereka yang nyata.

Ia berkata: "Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah Dalam kesesatan Yang nyata".
( AL ANBIYA 54 )

HUJAH KAUM SYUAIB A.S

Kaum yang lain adalah kaum Nabi Syuaib a.s di Madyan, Allah swt berfirman :

Dan kepada penduduk "Madyan" Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! (sebenarnya) tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya Aku melihat kamu berada Dalam kemewahan; dan Sesungguhnya Aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari Yang meliputi (orang-orang Yang bersalah). ( HUD 84 )

Bantahan mereka serupa dengan orang-orang kafir sebelumnya.

Mereka berkata: "Wahai Syuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu) menyuruhmu perintahkan Kami supaya meninggalkan apa Yang disembah oleh datuk nenek kami, atau supaya Kami lakukannya apa Yang Kami suka melakukannya Dalam menguruskan harta Kami? Sesungguhnya Engkau (Wahai Syuaib) adalah orang Yang penyabar, lagi bijak berakal (maka Bagaimana pula Engkau menyuruh Kami melakukan perkara Yang bertentangan Dengan kebiasaan kami)?" ( HUD 87 )

HUJAH KAUM NABI YUSUF A.S

Nabi Yusuf saw diutus kepada bangsa Mesir. Beliau memulakan dakwahnya ketika berada di dalam penjara lagi. Beliau mengingatkan sahabatnya di penjara bahawa kesyirikan yang dilakukan oleh Bangsa Mesir waktu itu hanyalah dibuat oleh mereka sendiri dan nenek moyang mereka. Allah swt mengisahkan perkataan beliau :

"Wahai sahabatku berdua Yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang Tuhan Yang bercerai-berai itukah Yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa? apa Yang kamu sembah, Yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama Yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang Bukti Yang membenarkannya. sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan dia. Yang demikian itulah ugama Yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (YUSUF : 39-40 )

HUJAH KAUM NABI MUSA A.S


Nabi Musa as dan Nabi harun as juga diutuskan kepada bangsa Mesir selain Bani Israil. Allah swt berfirman tentang keduanya :

Kemudian Kami utuskan sesudah Rasul-rasul itu, Nabi Musa dan Nabi Harun, kepada Firaun dan kaumnya Dengan membawa ayat-ayat kami; lalu mereka (Firaun dan kaumnya) berlaku sombong takbur (enggan menerimanya), dan mereka adalah kaum Yang biasa melakukan dosa. ( YUNUS : 75 )

Namun ternyata Firaun dan pemuka-pemuka kaumnya menolak dakwah kedua Rasul mulia itu dengan hujjah yang sama seperti orang-orang kafir yang lain.

Mereka pula berkata: "Adakah Engkau datang (Wahai Musa) untuk memesongkan Kami dari penyembahan berhala Yang Kami dapati datuk nenek Kami melakukannya, dan untuk membolehkan kamu berdua membolot kekuasaan di bumi (Mesir)? dan (ketahuilah) sebenarnya Kami tidak akan beriman kepada kamu berdua". ( YUNUS : 78 )

HUJAH KAUM NABI MUHAMMAD SAW

Rasul terakhir yang Allah swt utus di dunia ini mengalami hal yang sama. Kaum Quraisy lebih memilih mengikuti nenek moyang mereka daripada mengikuti petunjuk Allah swt. Allah swt berfirman :

Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Turutlah akan apa Yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab:" (Tidak), bahkan Kami hanya menurut apa Yang Kami dapati datuk nenek Kami melakukannya". Patutkah mereka (menurut datuk neneknya) sekalipun Syaitan mengajak mereka itu (melakukan perbuatan Yang menjerumuskan mereka) ke Dalam azab api neraka Yang marak menjulang? ( LUQMAN : 21 )

Bahkan tokoh-tokoh Quraisy berusaha menghalangi keislaman Abu Thalib iaitu pakcik Nabi saw, dengan hujjah mengikuti agama orang tuanya. Maka akhirnya, Abu Thalib lebih memilih kekafiran daripada keimanan. Hal ini dikisahkan di dalam hadith berikut ini :

Dari Said bin Musayyab, dari bapanya, dia berkata : ”Ketika kematian mendatangi Abu Thalib, Rasulullah saw menziarahinya. Baginda mendapati Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah bin al-Mughirah berhampiran Abu Thalib. Baginda berkata: ”Wahai pakcikku, katakanlah Laa ilaha illallah, sebuah kalimat yang akan aku berhujjah dengannya untukmu di sisi Allah!” Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah mengatakan: ” ( Wahai Abu Thalib ) apakah engkau akan meninggalkan agama Abdul Muthalib?”. rasulullah saw terus-menerus menawarkan kalimat itu kepadanya, dan keduanya juga mengulangi perkataan tersebut. Sehingga akhir perkataan yang dikatakan Abi Thalib kepada mereka bahawa dia tetap di atas agama Abdul Muthalib. Dia enggan mengatakan Laa ilaaha illallah.” ( HR Bukhari no.4772 ; Muslim no. 24 )

Demikian pula, setelah baginda berhijrah ke Madinah. Orang-orang Yahudi yang termasuk umat dakwah baginda saw, lebih memilih mengikuti nenek moyang mereka daripada mengikuti petunjuk yang beliau bawa dari Allah swt.

Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutlah akan apa Yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan Kami (hanya) menurut apa Yang Kami dapati datuk nenek Kami melakukannya". Patutkah (Mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (Apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)?
(AL BAQARAH 170 )

PENUTUP


Setelah kita mengetahui sikap para umat terhadap para rasul mereka, yang menentang al-haq dengan hujjah mengikuti nenek moyang, maka tidak hairan betapa banyak masyarakat sekarang yang menolak al-haq dengan hujjah mengikut tradisi orang tua, warisan turun- temurun, adat dan kebiasaan orang ramai buat. Sungguh ajaib sebahagian kaum muslimin menolak hujjah al-Quran dan as-Sunnah semata-mata mempertahankan sesuatu yang tiada dalil tentangnya. Semoga tulisan ini menyedarkan kita bahawa nilai kebenaran itu ukurannya adalah al-Quran dan as-sunnah sebagai hujjah syarak. Maka, sesiapa sahaja yang menyalahi kedua-dua sumber tersebut maka perlu kembali ke jalan yang benar walaupun dia seorang tokoh, ilmuan, orang tua atau sesiapa sahaja.

1 comment:

  1. assalamualaikum ustaz. saya shah, baru hari ini saya dpt luangkn mse utk jenguk blog ustaz ni. sy rse sronok mjd pngikut ptama ni. sy xtau plak adat2 mlayu ada yg buat knduri arwah pd 40 hari slps kmatian, 70 dan 100 hari. tp yg sy pnah dgr tntang adat2 karut nenek moyang kte ialah bkr kmenyan pd mlm jumaat. dah la tu, asap yg kluar bkepul2 tu die usapkan pd muka. yg buat tu plak bknnye sbarangan org, ustaz plak tu. cmne agaknye adat2 cmni bleh tsebar kpd golongan ustaz sndiri yek? nauzubillah.

    ReplyDelete