Sunday, September 13, 2009

RAMADHAN, MERDEKA & H1N1



RAMADHAN

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah difardhukan ke atas kamu sebagaimana ia telah difardhukan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” [al-Baqarah 2: 183]

Sayangnya Allah kepada kita, diberikan-Nya satu bulan dalam setahun, untuk kita belajar mencapai TAQWA. Bekalan untuk kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Apakah yang diajar oleh puasa, agar meningkat nilai taqwa? Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan pelajaran. Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan latihan. Tetapi ketika kita ada segalanya untuk dimakan, namun kita memilih untuk tidak makan, kerana mentaati Allah, itulah latihan. Ia adalah latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah kemahuan diri, supaya kita dapat tingkatkan daya kawalan diri!
Itulah Taqwa. Kawalan kehendak-kehendak sendiri untuk selamatkan diri, rumahtangga, anak dan bini. Bersiap sediakah kita menyambut Ramadhan? Sudah mulakah langkah perubahan? Atau masih ditakuk lama tanpa apa-apa usaha ke arah keadaan yang diredhai Tuhan? Ego sungguh manusia pada Tuhan!

MERDEKA

Rata-rata rakyat Malaysia mengerti makna Kemerdekaan sekadar ulangtahun bebasnya Malaya dari penjajahan British, full stop! Ini satu kesilapan besar dalam memahami erti kemerdekaan. Kemerdekaan perlu diisi dengan usaha-usaha memajukan diri dengan ilmu pengetahuan dan secara tidak langsung dapat memajukan masyarakat dan negara kita yang tercinta ini. Tanpa ilmu, kita akan terus berkiblatkan Barat dan bertuhankan mereka. Malah lebih barat dari barat. Apa-apa sahaja yang datang dari barat akan ditelan bulat-bulat. Malah, sekiranya seluruh wanita barat itu bertudung litup tidak mustahil para pendukung barat di negara kita akan turut bertudung dek kerana idola mereka bertudung di sana!
Bagaimanakah Islam mendefinisikan ’kemerdekaan’? Lihat sahaja dialog di antara Rib’ie bin ’Amir ketika ditanya oleh Rostum, Panglima Tentera Parsi ketika Tentera Islam menghadapi Tentera Parsi. Rostum bertanya, ”mengapakah kamu orang Arab datang ke negeri kami? Adakah kamu kekurangan makanan? Adakah kamu kekurangan bantuan? Supaya kami boleh membantu kamu?
Lihatlah apa yang dijawab oleh Rib’ie, jawapan inilah merakamkan erti sebenar kemerdekaan seorang insan bernama Muslim. Kata Rib’ie :

”Allahlah yang menghantar kami, supaya kami dapat mengeluarkan sesiapa yang Allah kehendaki, daripada mengabdikan diri kepada sesama hamba hanya mengabdikan diri kepada Allah Yang Esa ; daripada kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam ; daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.”

Apabila kita faham asas ini, maka kita seharusnya memahami erti kemerdekaan yang sebenar adalah memimpin setiap manusia ke arah jalan Tuhan dan bebaskan diri kita daripada mempertuhankan nafsu dan sesama manusia.
Masih hisap rokok baratkah? Masih berfesyen baratkah?masih berfikiran baratkah?anak-anak dan isterimu kenal Tuhan tak? Rasul jadi panduan atau artis jadi pujaan? Jauh sungguh kita dari Allah dan Rasul!

H1N1

Inilah fenomena yang menyebabkan ramai yang ’berpurdah’ walaupun tak bertudung dek kerana takut mati. Saya anggap ini sebagai bala dari Allah. Setiap hari kematian meningkat, tapi iman kita bagaimana? Meningkat tak? Atau masih di zon selesa menyalahkan kewujudan ’kerbau pendek’ di mana-mana! Kematian di sekeliling kita seharusnya membawa kita dekat pada Tuhan. Taubatlah, tiada apa yang menghalangmu daripada taubat. Hiduplah dengan rasa ”berTuhan” sebelum kafanmu menyelumuti badan. Cuba insafi hadis ini:

”Apabila harta baitul mal tidak dibahagi kepada yang hak,dan amanah menjadi tawanan perang,dan zakat dipandang sebagai denda,belajar ilmu agama bukan kerana Allah,suami taatkan isteri,derhaka kepada ibubapa,bersuara keras di dalam masjid,orang-orang fasik menjadi ketua,orang yang hina menjadi pemimpin,dimuliakan seseorang kerana takutkan kejahatannya,ramai penyanyi-penyanyi wanita,banyak alunan alat-alat muzik bertali,diminum arak daripada pelbagai jenis,orang Islam kemudian melaknat orang Islam yang awal; maka apabila berlaku perkara-perkara itu tunggulah turunnya angin taufan yang dasyat,gempa bumi,sedutan bumi,bertukar rupa manusia keapa kera dan babi,lontaran-lontaran azab,dan azab akan turun satu lepas satu seperti rantai manik yang telah putus dan terburai.”
(HR Tirmidzi )

Ya Allah ampunilah dosa kami!!

Artikel ini dikeluarkan untuk Buletin JPA siri ke 17/2009




No comments:

Post a Comment