Tuesday, August 18, 2009
BERAMAL DENGAN ILMU YANG SOHIH
Setakat tulisan ini ditulis, banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Terlalu banyak peristiwa yang penting dan harus dicatat sebagai sejarah kehidupan manusia. Terlalu banyak hikmah-hikmah yang tersirat di setiap peristiwa yang Allah aturkan untuk difikirkan oleh golongan ulul albab. Setiap kali bercadang menulis blog, saya kagum melihat istiqomah dan kesungguhan para ulamak, cendekiawan, para pejuang dan sahabat-sahabat yang tidak putus-putus mencurah ilmu untuk dikongsi bersama di blog masing-masing. Semua peristiwa dan fakta didepani kalam Allah dan sabda Rasullullah saw. Inilah sifat orang yang beriman, setiap perkara yang berlaku perlu dirujuk kepada dua asas tersebut. Firman Allah :
59. Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.( an-nisa :59 )
Bermula dengan penularan wabak H1N1 yang setakat ini telah meragut 67 nyawa di Malaysia, masyarakat mula kaget dan mula mencapai apa sahaja sebagai perisai dan pendinding daripada wabak membunuh tersebut. Wanita yang selama ini memandang remeh ancaman-ancaman Allah terhadap mereka yang tidak menutup aurat tanpa segan silu terus ’berpurdah’ dek kerana bimbang virus selsema babi itu masuk ke dalam lubang hidung mereka. Mereka yang selama ini tidak tahu kewujudan masjid atau surau berdekatan rumah mereka berbondong-bondong ke rumah Allah untuk bersolat hajat dan mengaminkan doa yang dibaca oleh Imam. Mereka yang selama ini gemar melancong ke pasaraya tak kira malam atau siang mula mengurung diri di dalam rumah kerana takutkan kematian.
Manusia yang mula hilang punca akan kembali kepada Allah. Itulah fitrah seorang manusia akan kembali kepada Tuhan apabila berada di saat-saat genting. Namun apabila kembali kepada Allah dalam keadaan jahil, maka banyaklah kesilapan dan kelompangan berlaku di sana sini. Di antaranya penyebaran doa yang kononnya mampu menangkis wabak yang membunuh itu. Malangnya doa itu bukan sahaja tiada dalam al-Quran dan Hadis malah mengandungi unsur syirik kerana lafaz tawassul ke atas manusia yang telah mati iaitu Rasulullah saw, Fatimah ra, Ali ra, Hasan serta Hussain. Secara umum dapat dilihat golongan yang mereka doa ini. Sila rujuk gambar di atas.
Begitulah sifat musuh Islam seperti Syiah ini. Mereka bertopengkan pembela ahlu Bait ( keluarga nabi saw ) tetapi kerja mereka adalah kerja syaitan atas nama Tuhan. Semoga kita dijauhkan daripada fitnah mereka dalam beragama.
Saya berharap golongan-golongan yang arif dapat mendahulukan amalan-amalan yang sohih daripada al-Quran dan as-Sunnah di dalam masyarakat dengan pantas dan tepat supaya unsur-unsur seperti ini tidak lagi timbul. Agak malang sekiranya kita mengkaji sikap masyarakat kita dalam beragama. Mereka gemar sesuatu yang khusus dan ada unsur-unsur yang pelik dan ajaib dalam beramal. Contohnya doa dan zikir yang diajar oleh Rasulullah saw hanya memerlukan untuk dibaca pada waktu-waktu tertentu agak kurang diminati untuk diamalkan. Tetapi sekiranya zikir atau doa tersebut perlu dibaca dengan aksi-aksi tambahan seperti menghembus kiri dan kanan, membuat jurus atau ada diselitkan nama-nama tertentu seperti syeikh abdul Qadir dan bermacam-macam versi lagi, maka inilah amalan yang dipilih kerana ada unsur ’superpower’ dan agak luar biasa. Sedangkan amalan doa dan zikir yang ada unsur-unsur tambahan ini kebanyakannya tidak bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah tetapi amalan yang diwarisi turun temurun. Barangkali amalan ini bersumber daripada nenek moyang kita sebelum Islam dengan lafaz jampi dan mentera kemudian diperindah oleh golongan terkemudian dengan lafaz-lafaz arab supaya ada unsur-unsur Islam di dalamnya. Betapa kreatifnya golongan yang mereka amalan tersebut. Akhirnya hilanglah ketulenan amalan Islam yang sohih dan berlakulah campur aduk antara agama dan kepercayaan khurafat.
Pengajaran daripada peristiwa ini, hendaklah kita sentiasa berdamping dengan ilmu yang sohih bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah serta kefahaman para sahabat supaya setiap perbuatan dan amalan kita ada petunjuk yang jelas dan tepat. Ia sebagai langkah yang utuh untuk menangkis segala bentuk syubhat dan fitnah yang ditimbulkan oleh golongan musuh-musuh agama. Firman Allah :
1. Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.(al-hujurat : 1)
Wallahu a’lam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment