Wednesday, August 19, 2009
TUGASAN YANG MENGGEMBIRAKAN
Pada tahun ini, setelah agak lama berstatus anak yatim tanpa 'ayah',akhirnya Politeknik Merlimau menerima seorang pengarah baru. seorang yang idealis dan tinggi cita-citanya. Menjadi pengarah Politeknik Merlimau yang telah berstatus 'ceri di atas kek' sememangnya memerlukan kerja keras untuk mempertahankannya. inilah politeknik yang pertama dianugerahi persijilan kualiti 5S dan sekarang akan dipacu pula untuk anugerah kualiti perdana menteri. Bukan sedikit masa dan tenaga diperlukan oleh semua staf untuk mencapai wawasan itu dalam keadaan sibuk, sibuk dan sibuk. Tugas sampingan jadi tugas utama dan mengajar jadi tugas kedua. Semua itu perlu semangat dan disiplin pengurusan masa yang cukup tinggi. Tanpa semangat 'kerja itu ibadah dan dakwah', mustahil semua itu mampu diteruskan.
Saya melapor diri di sini pada awal Ramadhan tahun lepas. Sabtu ini insyaallah bertemu sekali lagi Ramadhan memberi makna sudah hampir satu tahun saya berkhidmat di sini. pelbagai tanggungjawab diberikan- pensyarah modul,penyelaras modul,imam dan penceramah Pusat Islam,pegawai kualiti,juruaudit dalaman,jawatankuasa ICT,wakil Unit Multimedia,editor Buletin Jabatan,Jawatankuasa Penerbitan dan bla bla..sebagai ayah dan suami di rumah..!!
hasilnya..?
"Wahai Tuhan Yang Maha Hidup,Wahai Tuhan Yang Berdiri Sendiri,Dengan Rahmat-Mu aku minta pertolongan, perbaikilah segala urusanku dan jangan diserahkan kepadaku sekalipun sekelip mata tanpa mendapat pertolongan dari-Mu"
semoga doa yang diajar oleh Rasulullah saw ini mampu memberi saya kekuatan mengurus semua itu.
Semenjak pengarah baru mula menjalankan tugas, banyak program dan aktiviti yang dijalankan. saya tidak berminat menceritakan segala yang dirancang tetapi saya tertarik dengan salah satu 'tugasan' wajib pengarah kepada setiap pensyarah iaitu membuat ulasan buku ilmiah sekurang-kurangnya tiga buah buku sebulan. Setiap ulasan yang dihantar akan dipilih untuk dibentangkan semasa perhimpunan bulanan. Saya secara peribadi sangat bersetuju dengan tugas wajib ini. Ini secara tidak langsung memupuk pembudayaan ilmu yang sangat baik. Sekurang-kurangnya sahabat-sahabat sejawatan dengan saya tidak lagi berada di zon selesa membuat perkara sia-sia bagi sesetengah orang. Sebenarnya saya telah mulakan tugasan membuat ulasan buku kepada pelajar-pelajar saya bermula pada semester lepas lagi.
Tugasan Pengarah kepada kami ini memberi peluang kepada saya untuk mengenengahkan ulasan terhadap buku ilmiah yang bermanfaat dan berkualiti dari sudut penulis yang kompeten, fakta yang sahih dan pemahaman yang tepat. Saya telah memilih buku bertajuk “MENANGKIS PENCEMARAN TERHADAP AGAMA & TOKOH-TOKOHNYA” yang ditulis oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Berikut adalah ulasan saya terhadap buku beliau :
Buku tulisan Dr Asri Zainul Abidin ini cuba membersihkan maklumat-maklumat salah mengenai Islam yang terdiri daripada hadith-hadith yang palsu dan riwayat-riwayat yang tertolak. Ia datang daripada pelbagai sumber, seperti para penceramah yang tidak memegang disiplin ilmu, buku-buku sufi, maulid, sirah, Syiah dan riwayat israiliyyat. Demikian juga maklumat-maklumat salah mengenai tokoh-tokoh Islam, seperti para sahabat, khalifah dan ulama. Garis panduan mengelakkan kita terjerumus dalam kesilapan fakta juga dijelaskan oleh penulis.
Buku ini terdiri daripada tiga bab utama iaitu AMANAH ILMU, SUMBER-SUMBER AGAMA YANG PERLU DITELITI dan MENYEMAK BERITA MENGENAI TOKOH AGAMA DAN UMAT.
Dalam bab yang pertama, penulis menekankan kepada kita tentang kewajipan memastikan kesahihan maklumat. Ini merupakan satu disiplin yang perlu ada pada setiap pengkaji dan penuntut ilmu agar maklumat yang dibaca atau dikaji diyakini bersumber kepada fakta dan dalil yang benar. Ilmu sesekali tidak dibina di atas dasar sangka-sangkaan. Ilmu-ilmu yang berkaitan kehidupan manusia seperti sains memerlukan hasil kajian berpandukan fakta dan angka yang tepat, apatah lagi ilmu agama yang diturunkan oleh Tuhan untuk menjadi panduan manusia lebih perlu dipelihara ketulenannya. Penulis memberikan beberapa langkah yang perlu diambil oleh penuntut ilmu sebagai disiplin penapisan maklumat dan mengenal pasti sumber-sumber pembawa berita yang terkenal membawa maklumat-maklumat agama yang tidak tulen seperti golongan fasik, ahli bidaah, musuh-musuh dakwah, golongan taasub dan hasad. Mereka ini terkenal sebagai golongan yang banyak melakukan penyelewengan fakta mengenai tokoh, sejarah dan teks-teks agama.
Sebagai seorang yang pakar dalam bidang ilmu hadis, penulis telah membuat beberapa kritikan ilmiah terhadap sumber-sumber agama yang kurang diteliti oleh para penuntut ilmu sehingga berlaku banyak penyelewengan fakta terhadap agama, sejarah dan tokoh-tokoh yang terlibat. Hal ini disentuh secara mendalam dalam bab yang kedua. Penulis turut memberikan beberapa contoh yang terkini melibatkan individu-individu tertentu yang tidak mempunyai latar belakang pengajian Islam atau sekadar sebulan dua di pusat pengajian tertentu kemudiannya muncul di tengah masyarakat dengan membawa huraian-huraian yang salah tentang Islam di sana-sini. Penulis menyatakan kekecewaannya berkenaan fenomena ini kerana kesannya, manusia mengambil agama daripada golongan jahil lalu berlaku penyelewengan dalam agama. Penulis agak tegas apabila membicarakan soal Syiah iaitu satu kumpulan yang taasub dan banyak penyelewengan fakta telah mereka lakukan dalam sejarah Islam semata-mata ingin menegakkan ideologi sesat mereka. Jenayah-jenayah ilmiah yang dilakukan oleh puak Syiah dihuraikan secara terperinci oleh penulis.
Dalam bab yang ketiga, penulis memberikan beberapa contoh fakta atau cerita yang popular dalam masyarakat di mana hakikat disebaliknya adalah cerita yang tidak tulen dan tidak ada sumbernya sama sekali. Di antara kisah yang popular ialah kisah seorang sahabat yang bernama Tha’labah yang enggan membayar zakat setelah kaya hasil doa Rasulullah SAW untuknya. Tha’labah asalnya seorang yang miskin dan meminta kepada Rasulullah SAW agar mendoakannya agar menjadi seorang yang kaya. Setelah menjadi seorang yang kaya, Tha’labah berubah dan enggan menunaikan perintah Allah dan Rasul. Akhirnya Tha’labah dikecam oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Inilah kisah yang diimani oleh ramai penuntut ilmu dan merupakan kisah yang popular menghiasi ceramah-ceramah agama dalam masyarakat. Hakikatnya ia merupakan fitnah yang besar terhadap sahabat Rasulullah SAW dan menurut sumber yang sahih Tha’labah merupakan salah seorang syuhada yang gugur di medan Uhud. Banyak lagi contoh-contoh yang dikemukakan oleh penulis di dalam bab ini yang melibatkan tokoh-tokoh dalam Islam.
Di dalam bab yang terakhir, penulis menekankan betapa penting para penuntut ilmu meneliti dan menilai fakta-fakta ilmu terutamanya ilmu agama agar ketulenan agama dan tokoh-tokohnya dapat dipelihara dan kekal ketulenannya sepertimana agama ini diturunkan kepada kita. Tanpa ada disiplin ilmu ini, sudah tentu akan berlaku banyak hasil pandangan dan pegangan yang tidak tepat hasil sumber ilmu yang tidak sahih. Penulis turut menyatakan contoh-contoh yang berlaku dalam agama wahyu seperti Yahudi dan Kristian yang tidak lagi tulen dan tertolak pegangan mereka hasil tokok tambah tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab sehingga agama dari langit itu hilang ketulenannya.
biodata penulis buku :
Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ph.d. Lahir pada tahun 1971. Sekarang sebagai Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, USM dan sedang menjalani cuti sabatikal di United Kingdom. Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah Agama Al-Irsyad, Seberang Perai, Pulau Pinang. Seterusnya di Kolej Islam Klang. Memperoleh B.A ( Hons ) Bahasa Arab & Syariah dari University Of Jordan dan mendapat 5 Ijazah Sanad Hadis menerusi jalur ulama India (2001). Kemudian mendapat Sarjana Pengajian Islam di USM dan Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengajian Hadith dari Universiti Islam Antarabangsa. Pernah menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis (dipinjam dari USM oleh Kerajaan Negeri Perlis bermula 1 Nov 2006 – 30 Nov 2008). Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang akademik dan dakwah, beliau mendapat beberapa anugerah seperti Darjah Kebesaran Seri Sirajudin Perlis (SSP), penerima Anugerah Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 1427H, Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Perlis Tahun 1429H dan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah USM Tahun 1430H. Beliau telah menghasilkan 22 buah buku ilmiah dan 44 kertas kerja dalam pelbagai seminar peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau juga aktif menulis dan merupakan Kolumnis Tetap Mingguan Ruangan Pena Mufti, Akhbar MINGGUAN MALAYSIA. (11 Mac 2007-30 Nov 2008). Kolumnis Tetap Minda DR. MAZA dari UK, Akhbar MINGGUAN MALAYSIA (13 Disember 2008- sekarang) Pemilik Laman Web ‘MINDA TAJDID’ : drmaza.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment